CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, April 6, 2011

Jamuan Perpisahan

Jamuan perpisahan First Batch Sarjana Pendidikan Matematik (sekolah Rendah)

Sunday, April 3, 2011

School Based Project: Junior Chef

1.0 PENGENALAN

Matlamat wawasan negara dapat dicapai melalui masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik. Antara usaha ke arah mencapai wawasan ini, perlu memastikan masyarakat membudayakan matematik dalam kehidupan seharian. Justeru itu, kemahiran penyelesaian masalah dan berkomunikasi dalam matematik perlu dipupuk supaya dapat membuat keputusan dengan berkesan. Matematik merupakan jentera atau penggerak kepada pembangunan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Dengan itu, penguasaan ilmu matematik perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi menyediakan tenaga kerja yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan membentuk sebuah negara maju. Selaras dengan hasrat untuk mewujudkan sebuah negara yang berorientasikan ekonomi berasaskan pengetahuan, kemahiran penyelidikan dan pembangunan dalam bidang matematik perlu dibina dari peringkat sekolah.

Berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kurikulum matematik telah diolah dan disusun selaras dengan keperluan untuk menyediakan pengetahuan dan kemahiran matematik kepada murid-murid yang mempunyai latar belakang dan keupayaan yang pelbagai. Dengan pengetahuan dan kemahiran tersebut, mereka berkemampuan untuk meneroka ilmu, membuat adaptasi, modifikasi dan inovasi dalam menghadapi atau menangani perubahan dan cabaran masa depan. Seterusnya dapat merealisasi kerjaya yang cemerlang untuk diri, masyarakat dan negara. Setiap murid diberi galakan dan bimbingan yang seluas-luasnya untuk menguasai kemahiran asas dengan kukuh. Peluang juga disediakan untuk membolehkan mereka mengembangkan bakat dan minat serta daya kreatif dalam bidang tertentu. Di samping itu, kemahiran berfikir dan kemahiran belajar diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menegaskan penguasaan konsep, proses dan bahasa matematik.

Pengajaran dan pembelajaran matematik perlu memberi peluang kepada semua murid untuk mengalami pembelajaran yang seronok, bermakna, berguna dan mencabar. Bagi tujuan ini pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran serta latihan perlu berperingkat, bermakna dan sesuai dengan kebolehan, pengalaman serta minat murid. Pertimbangan juga perlu diberi kepada gaya pembelajaran yang berbeza di kalangan murid. Pendekatan inkuiri penemuan berpusatkan murid digunakan secara meluas untuk menjadikan pengalaman matematik yang menyeronokkan, bermakna, berguna dan mencabar. Pertimbangan yang sewajarnya perlu diberi dalam merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara optimum dan berkesan. Pembinaan kefahaman tentang konsep dan kemahiran perlu dibentuk di peringkat awal melalui objek sebenar atau objek konkrit. Pemahaman konsep dan kemahiran ini disusuli pula dengan latihan lisan dan bertulis yang mencukupi.

Bagi mendapatkan pengukuhan dalam penyelesaian masalah, salah satu aktiviti yang didapati berkesan ialah melalui aktiviti berpusatkan murid. Ini dapat dilaksanakan melalui projek. Ia merupakan kemahiran berfikir yang menjana cetusan pemikiran yang sistematik dan logik serta boleh dijadikan satu pendekatan. Pendekatan aktiviti berkumpulan memberi penekanan terhadap perkembangan pemikiran matematik dan keupayaan menaakul yang dilakukan melalui aktiviti konkrit dan berfikrah. Penguasaan kemahiran ini akan membolehkan murid mengaplikasikan dan mengadaptasikan pelbagai strategi yang sesuai untuk menyelesaikan masalah baru. Kejayaan murid bergantung kepada pengalaman, sikap, kepercayaan, kesediaan dan keyakinan diri. Justeru itu, semua aktiviti perlu berasaskan kepada persekitaran dan pengalaman sebenar murid.

Pendidikan matematik perlu menerapkan elemen-elemen yang boleh membentuk individu yang seimbang dan harmonis dari segi ilmu dan sahsiah. Penilaian dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan penguasaan hasil pembelajaran serta keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan mesti mengandungi unsur diagnostik kendiri supaya murid dapat mengenalpasti tahap mereka memahami sesuatu konsep, menguasai hasil pembelajaran, dan mengamalkan nilai matematik sepanjang pembelajaran di sekolah rendah.

Secara umumnya, tujuan kajian ini adalah untuk meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran matematik dan melatih murid menyelesaikan masalah terutama yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka.

Secara amnya, objektif kajian yang akan dijalankan adalah seperti berikut :

i. Sejauh manakah murid dapat memahami dan meningkatkan tahap penguasaan dan pemahaman asas matematik melalui aktiviti menyukat, membuat anggaran dan pengiraan.

ii. Untuk memberi peluang serta melihat sejauh mana murid dapat menyelesaikan masalah matematik.

iii. Pelaksanaan projek secara berkumpulan dapat menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran matematik dengan lebih berkesan.

iv. Murid dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam kehidupan seharian serta menyelesaikan masalah yang dihadapi semasa melaksanakan proses tersebut.

v. Untuk membolehkan guru membuat penambahbaikan terhadap pendekatan yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Secara khususnya, kajian ini akan cuba menjawab soalan-soalan yang berikut iaitu :

i. Sejauh manakah murid dapat menukar unit bagi timbangan berat?

ii. Sejauh manakah pelajar-pelajar dapat menyukat dan membaca alat penimbang dengan tepat?

iii. Sejauh manakah murid boleh mengira anggaran perbelanjaan dan untung rugi?

2.0 TINJAUAN LITERATUR

Murid perlu dibawa keluar dari kepompong pemikiran yang sempit terhadap matematik kepada bentuk yang lebih praktikal dan analitik yang memerlukan pemahaman konsep. Menurut Biggs (1990), perbezaan ini berlaku kerana proses pembelajaran melibatkan teknik yang kompleks, strategi dan pendekatan yang mana diarah oleh nilai dan sikap yang relevan. Elemen-elemen yang terdapat dalam proses belajar merangkumi motif, matlamat, sumber, kekangan, maklumat kemaskini, kebolehan, strategi pemantauan dan ‘finalising’. Kesemua ini memaparkan satu jaringan kerja yang kompleks yang mana ia akan membawa kepada pendekatan pembelajaran yang berbeza bagi individu. Suasana pengajaran yang sistematik dan harmoni juga merupakan salah satu faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan pengajaran dan pembelajaran. Ini dapat membantu murid meningkatkan pencapaian dalam matematik.

Dalam konteks ini, Biggs mengusulkan tiga jenis pendekatan yang dapat dirujuk sebagai pendekatan permukaan, pendekatan dalaman dan pendekatan mencapai. Pendekatan permukaan adalah dari motivasi luaran dan pendekatan ini menggalakkan murid belajar secara mekanikal melebihi belajar untuk pemahaman. Pendekatan dalaman digunakan apabila seseorang murid adalah dimotivasikan secara dalaman dan gemar menggunakan strategi untuk memaksimumkan pemahaman. Pendekatan mencapai pula didorong oleh motif untuk mencapai kejayaan dan penggalakan penggunaan strategi yang dapat meningkatkan kemahiran belajar yang efektif (Maznah et al, 1998). Sebagai pendidik kita bertanggungjawab untuk membantu setiap pelajar meningkatkan minat dan kecenderungan mereka ke arah pelajaran. Pelajar juga digalakkan membina jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah dengan menggunakan idea dan hipotesis yang telah dibina (Mohd Fadzli, 2001). Keadaan ini boleh dilaksanakan dengan mengambil langkah menggunakan pendekatan pengajaran yang berkesan. Ini termasuklah amalan pembelajaran yang berpusatkan guru kepada amalan pembelajaran berpusatkan pelajar, misalnya dengan menggunakan pendekatan secara berkumpulan. Pendekatan ini mempunyai kelebihan kerana mereka berpeluang berinteraksi di antara satu sama lain dan boleh belajar melalui pengalaman sendiri.

Pelajar-pelajar melakukan aktiviti secara aktif semasa proses pembelajaran dan ini meliputi pengalaman pembelajaran yang dirasai dan dialami sendiri oleh mereka. Aktiviti-aktiviti dirancang sebegitu rupa supaya berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 1994). Semasa pelajar-pelajar belajar dalam kumpulan mereka boleh berkongsi pengetahuan (intelek), memupuk nilai-nilai murni (rohani), bertimbangrasa (emosi) serta mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi (sosial). Justeru itu, adalah diharapkan apabila pelajar-pelajar yang keluar dari bangku sekolah nanti, akan mencerminkan diri mereka sebagai insan yang menyeluruh dan bersepadu selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Kaedah kumpulan pelbagai kebolehan memberikan pelajar-pelajar peluang mengamalkan pengajaran sebaya, memupuk semangat kerjasama dan bertimbangrasa, perkembangan sahsiah dan kemahiran sosial (Buku Panduan KBSR 1982).

Pembelajaran matematik KBSR (1993) dirancang supaya mencapai matlamat iaitu untuk meningkatkan pengetahuan, keterampilan dan minat pelajar terhadap matematik. Mereka diharapkan akan berupaya menggunakan matematik secara berkesan dalam penyelesaian masalah serta mempunyai persediaan yang mencukupi bagi melanjutkan pelajaran dan berfungsi secara produktif dalam kerjaya mereka. Bagaimanapun, pencapaian dan minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut tidaklah begitu menggalakkan. Ini mungkin ada kaitan dengan pendekatan pengajaran guru oleh guru-guru itu sendiri. Menurut Byres (1993), kaedah pengajaran hanya mementingkan pelajar menurut sahaja apa yang disampaikan oleh guru. Proses pembelajaran adalah berbentuk pasif di mana guru menyampaikan pengetahuan dan pelajar menerima dan berusaha mengingati kebanyakan ilmu itu. Peranan guru dalam bilik darjah tidak lebih daripada menyuruh pelajar menggunakan langkah-langkah yang diajar oleh mereka, seterusnya mengikuti apabila menjawab soalan peperiksaan nanti. Hasilnya ramai pelajar yang gagal, benci dan takut kepada mata pelajaran ini. Oleh itu, perlu mewujudkan pendekatan yang berbeza dan menarik dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Menyedari hakikat ini, maka sewajarnya guru-guru matematik di sekolah memilih pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang boleh menarik minat para pelajar. Noraini (1994) menyatakan di antara faktor-faktor yang boleh menarik minat dan merangsangkan minat seseorang kepada sesuatu perkara iaitu :

· Pendengar atau pengguna sedar atau tahu bahawa perkara atau benda itu berguna atau berfungsi kepadanya.

· Ia disampaikan atau dipersembahkan kepadanya dengan cara dan gaya yang menarik.

· Perkara atau benda itu indah, menggembirakan dan menyeronokkan.

Dengan cara ini mereka tidak adakan merasakan bahawa mereka berhadapan dengan peraturan yang menakutkan bahkan mereka akan merasa seronok sewaktu proses pembelajaran matematik. Justeru itu, guru perlu merancang dan memilih kaedah pengajaran yang sesuai supaya pembelajaran matematik berlaku dalam keadaan yang dapat merangsang minat dan tumpuan serta belajar bersungguh-sungguh. Pendekatan yang menggalakkan pelajar-pelajar belajar dan mencari ilmu sendiri perlu dipupuk di samping guru sebagai pembimbing membimbing supaya mereka lebih ekspresi kendiri yang kreatif. Iklim bilik darjah pembelajaran matematik dibina bertujuan memperkembangkan inovasi pelajar-pelajar supaya mempunyai lokus kawalan dalaman disebabkan yang menggerakkan mereka ialah dirinya sendiri dan standard yang hendak dicapai juga adalah relatif kepada dirinya sendiri. Pemikiran kritikal dipupuk kerana proses pembelajaran ialah induktif.

3.0 METODOLOGI KAJIAN

Bahagian ini akan membincangkan metodologi projek yang akan digunakan semasa penyelidikan. Perbincangan meliputi rekabentuk kajian, populasi dan sampel projek, instrumen projek dan prosedur pengumpulan maklumat. Projek ini menggunakan rekabentuk kualitatif bagi mencapai objektif projek. Dapatan kajian dipersembahkan melalui pemerhatian dan interaksi secara langsung semasa projek dijalankan. Berdasarkan pemerhatian dan interaksi secara langsung yang telah dijalankan, kesimpulan tentang sejauhmana murid dapat menyampaikan justifikasi mereka terhadap konsep timbangan berat, anggaran perbelanjaan dan pengiraan untung rugi dalam sesuatu urusniaga berdasarkan pengalaman membuat kek dan menjualnya, sampel kajian terdiri daripada 20 orang ahli Persatuan Matematik dan Sains dari salah sebuah sekolah di Dareah Kuala Kangsar. Dalam projek ini, murid-murid ini dibahagikan kepada berapa kumpulan. Setiap kumplan akan di beri satu set resipi. Berdasarkan resipi yang diberikan, murid akan membuat pengiraan tentang kos yang perlu dikeluarkan untuk membuat sebiji kek. Seterusnya setiap kumpulan perlu menghasilkan sebiji kek untuk jualan pada hari kantin sekolah. Kek yang telah siapkan perlu dibahagikan kepada 10 bahagian yang sama besar. Sebelum kek itu dijual, mereka perlu berbincang tentang harga jualan yang hendak ditetapkan supaya mereka boleh mendapat keuntungan. Segala proses dalamean kertas cadangan lasanakan projek ini perlu dipersembahkan dalam bentuk folio.

4.0 DAPATAN KAJIAN

Bahagian ini membincangkan tentang dapatan yang telah diperolehi hasil daripada kajian yang telah dijalankan bagi menjawab persoalan kajian. Dalam kajian yang telah dijalankan terhadap 24 orang sampel, didapati bahawa terdapat persamaan dan perbezaan idea di antara pendapat dan hasil kerja responden. Berikut adalah dapatan kajian yang telah dijalankan terhadap responden tersebut :

4.1 Sejauh manakah murid dapat menukar unit bagi timbangan berat?

Untuk menjawab persoalan yang kedua ini, pengkaji mendapati masih terdapat murid yang menghadapi kesukaran dalam membuat penukaran unit bagi timbangan berat. Berikut adalah hasil dapatan pengkaji berhubung dengan persoalan ini.

Kumpulan 1 :

Didapati ahli kumpulan ini memahami hubungan di antara unit kilogram dan gram, seterusnya boleh menukar unit yang berkaitan dengan baik.

Kumpulan 2 :

Bagi kumpulan ini pula, didapati mereka mengetahui hubungan di antara unit kilogram dan gram, namun menghadapi kekeliruan dalam menukar unit ini. Oleh yang demikian, pada peringkat permulaan mereka menghadapi masalah dalam membuat penukaran unit. Walau bagaimanapun masalah ini dapat diatasi setelah mendapat bimbingan daripada pengkaji.

Kumpulan 3 :

Daripada pemerhatian pengkaji, didapati kumpulan ini menghadapi sedikit kekeliruan pada peringkat permulaan kerana tidak faham dengan hubungan di antara unit kilogram dan gram. Walau bagaimanapun, mereka akhirnya boleh menukar unit dengan baik tanpa bimbingan daripada pengkaji.

Kumpulan 4 :

Bagi kumpulan terakhir, pengkaji mendapati bahawa mereka faham hubungan di antara unit kilogram dan gram. Oleh itu mereka boleh menukar unit bagi timbangan berat.

4.2 Sejauh manakah pelajar-pelajar dapat menyukat dan membaca alat penimbang dengan tepat?

Untuk menjawab persoalan ini, pengkaji mendapati bahawa setiap kumpulan pelajar cuba menyukat dan membaca alat penimbang melalui perbincangan sesama mereka. Berikut adalah hasil dapatan pengkaji mengenai persoalan yang pertama ini.

Kumpulan 1 :

Kumpulan ini dapat menyukat dan membaca alat penimbang dengan baik walaupun pada peringkat awal mereka didapati agak keliru dengan bacaan yang ingin dibuat. Walau bagaimanapun, melalui perbincangan dalam kumpulan akhirnya mereka boleh membuat bacaan dengan tepat.

Kumpulan 2 :

Bagi kumpulan ini pula, mereka didapati kurang bijak dalam membuat bacaan pada alat penimbang. Masalah ini dapat diatasi dengan bimbingan daripada pengkaji.

Kumpulan 3 :

Kumpulan ketiga ini pula tidak menghadapi sebarang masalah dan mempunyai kemahiran dalam menyukat dan membuat bacaan pada alat penimbang.

Kumpulan 4 :

Seperti kumpulan kedua, kumpulan ini juga menghadapi masalah dalam membuat bacaan pada alat penimbang walaupun setelah berbincang sesama ahli dalam kumpulan. Melalui bimbingan daripada pengkaji akhirnya mereka dapat membuat bacaan dengan tepat.

4.3 Sejauh manakah murid boleh mengira anggaran perbelanjaan dan untung rugi?

Untuk menjawab persoalan ini, pengkaji telah meneliti hasil kerja pengiraan yang dibuat oleh setiap kumpulan. Berdasarkan bilangan kek yang dibuat oleh setiap kumpulan, mereka dikehendaki membuat pengiraan bagi menganggar keuntungan yang bakal diperolehi daripada hasil jualan itu nanti. Di bawah adalah dapatan yang diperolehi daripada setiap kumpulan.

Kumpulan 1 :

Daripada hasil kerja pengiraan kumpulan ini, didapati mereka boleh mengira keuntungan yang bakal diperolehi apabila menjual kek tersebut. Langkah pengiraan dimulakan dengan mengira pendapatan hasil jualan dan diikuti dengan modal yang diperlukan untuk membuat 5 biji kek. Setelah itu, mereka mendapatkan keuntungan keseluruhan.

Kumpulan 2 :

Berdasarkan pengiraan yang dilakukan oleh kumpulan ini, mereka dapat menjalankan pengiraan bagi untung jualan dengan baik. Seperti kumpulan 1, ia dimulakan dengan mengira jumlah pendapatan jualan kek dan kemudian mereka mengira modal yang diperlukan pula. Akhir sekali mereka mengira keuntungan keseluruhan daripada hasil jualan.

Kumpulan 3 :

Bagi kumpulan ini, langkah pengiraan dimulakan dengan mengira modal bagi membuat 5 biji kek dan diikuti dengan mengira pendapatan jika jualan dibuat. Akhir sekali mereka mengira keuntungan yang dijangka daripada jualan kek tersebut. Daripada langkah-langkah pengiraan, didapati kumpulan ini juga boleh menjalankan pengiraan dengan baik.

Kumpulan 4 :

Bagi kumpulan terakhir ini, mereka memulakan pengiraan dengan mencari jumlah pendapatan yang dijangka daripada jualan kek mereka. Ini diikuti pula dengan pengiraan bagi modal yang diperlukan untuk membuat 200 ‘Cup Cake’. Akhir sekali, mereka mengira keuntungan yang bakal diperolehi sekiranya kesemua kek habis dijual.

5.0 PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN

Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) telah dimasukkan kemahiran berkaitan dengan konsep asas timbangan, penukaran unit serta operasi yang melibatkan konsep timbangan. Begitu juga dengan tajuk Wang, murid diberi pendedahan tentang bagaimana untuk mengira untung dan rugi. Pengajaran secara ‘chalk and talk’ tidak lagi sesuai dalam memberi kefahaman konsep kepada murid. Maka, adalah perlu bagi seseorang guru itu untuk mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Pertimbangan yang sewajarnya perlu diberi dalam merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara optimum dan berkesan. Pembinaan kefahaman tentang konsep dan kemahiran perlu dibentuk di peringkat awal melalui objek sebenar atau objek konkrit serta melalui aktiviti yang menarik dan menyeronokkan. Pemahaman konsep dan kemahiran ini disusuli pula dengan latihan secara lisan dan bertulis yang mencukupi.

Proses pengajaran dan pembelajaran dalam matematik menegaskan pembinaan konsep dan penguasaan kemahiran dalam setiap tajuk dan akhirnya dapat menyelesaikan masalah yang berkaitan. Dengan demikian, unsur-unsur seperti penyelesaian masalah dan komunikasi dalam matematik perlu diberi penekanan yang lebih bagi membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Penyelesaian masalah merupakan fokus utama dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran perlu melibatkan kemahiran penyelesaian masalah secara komprehensif dan merentasi keseluruhan kurikulum. Perkembangan kemahiran penyelesaian masalah perlu diberi penekanan sewajarnya supaya murid dapat menyelesaikan pelbagai masalah secara berkesan. Kepelbagaian penggunaan strategi umum dalam penyelesaian masalah, termasuk langkah-langkah penyelesaiannya harus diperluaskan lagi penggunaannya dalam mata pelajaran matematik. Dalam menjalankan aktiviti pembelajaran untuk membina kemahiran penyelesaian masalah ini, murid perlu diperkenalkan dengan masalah yang berasaskan aktiviti manusia seperti kerja projek dan sebagainya. Melalui aktiviti ini, murid dapat menggunakan matematik apabila berdepan dengan situasi yang baru dan dapat memperkukuhkan diri apabila berdepan dengan pelbagai situasi harian yang lebih mencabar.

Semasa menjalankan kerja projek ini, pengkaji mendapati bahawa murid dapat memberi kerjasama dalam kumpulan masing-masing dan ianya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Ini adalah kerana mereka saling berinteraksi untuk sama-sama menyelesaikan masalah yang diberi kepaada mereka. Melalui aktiviti berkumpulan seperti ini ianya dapat menggalakkan kerjasama antara pelajar yang berbeza tahap kebolehan. Dapatan kajian ini diharapkan dapat mengubah persepsi bahawa matematik adalah satu mata pelajaran yang sukar yang mana hanya murid berkebolehan tinggi sahaja yang boleh berjaya. Seterusnya lebih ramai murid yang akan berminat mendalami bidang matematik dan pada masa yang sama prestasi murid secara keseluruhannya meningkat dengan baik. Adalah diharapkan juga dengan kajian ini akan membantu guru menjadikan aktiviti secara berkumpulan sebagai alternatif kepada strategi pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada di dalam melahirkan individu berupaya menjadi anggota masyarakat yang seimbang dalam aspek intelek dan emosi.

6.0 CADANGAN

Dalam menyiapkan kerja projek ini, murid telah diagihkan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada 5 orang. Dengan kumpulan-kumpulan kecil ini adalah diharapkan mereka dapat bekerjasama sebagai satu pasukan. Aktiviti yang menyeronokkan seperti ini seharusnya selalu dirancang oleh guru kerana ianya dapat menarik minat murid-murid mempelajari matematik. Dalam aktiviti yang telah dijalankan terdapat juga kekangan yang dihadapi contohnya, kekurangan peralatan untuk murid-murid menjalankan aktiviti. Oleh itu, pengkaji mengesyorkan supaya penambahbaikan dapat dibuat di dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar murid dapat sama-sama mencuba untuk membuat sukatan dan ukuran. Aktiviti yang lebih menarik mungkin boleh dilaksanakan bagi memastikan murid lebih meminati matematik seterusnya menyumbang kepada pencapaian yang lebih baik.

Saturday, April 2, 2011

Penulisan Key Issues and Problems in Gifted Children

Pengenalan

Falsafah Pendidikan adalah bermatlamat untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Jadi langkah dan usaha yang diambil untuk mencapai matlamat dalam sistem pendidikan kita mestilah mengambil kira aspek potensi dan keperluan setiap individu pelajar. Ini termasuklah aspek personaliti dan kecerdasan. Setiap individu yang dilahirkan mempunyai bakat dan potensi yang boleh diperkembangkan dan dipertingkatkan. Dengan kemajuan pada masa kini dan kemudahan dalam mendapatkan pelbagai jenis maklumat sedikit sebanyak member kesan yang besar terhadap perkembangan dan pertumbuhan fizikal, psikomotor dan emosi individu terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa yang juga dikenali sebagai mereka yang pintar cerdas (gifted). Manusia mempunyai potensi kekuatan dan kelemahan tertentu. Mana-mana kekuatan atau kelemahan akan berkembang subur dengan banyak berdasarkan beberapa factor seperti jiwa manusia, corak asuhan, kualiti pendidikan, persekitaran fizikal dan persekitaran sosio budaya. Bakat yang dimiliki oleh mereka yang pintar cerdas ini perlulah diperkembangkan supaya ianya tidak dipersia-siakan. Untuk memperkembangkan potensi dan bakat yang dimiliki pelajar pintar cerdas ini, satu bentuk pendidikan khas perlu disediakan untuk pelajar pintar cerdas kerana mereka merupakan aset penting kepada negara. Negara memerlukan khidmat serta sumbangan mereka dari segi perkembangan ilmu, penciptaan ilmu dan pembangunan ekonomi untuk mampu bersaing dengan negara-negara lain (Nik Azis, 1999).

Tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pendidikan secara tidak langsung melahirkan ramai pelajar kita yang pintar cerdas. Gaya pembelajaran bagi pelajar pintar cerdas ini sudah semestinya tidak sama dengan pelajar-pelajar yang biasa. Adalah penting untuk mengkaji cara proses pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan untuk mereka ini bagi memastikan kelebihan yang dimiliki oleh mereka dapat memberi manfaat kepada negara suatu masa nanti. Setiap kanak-kanak normal mempunyai potensi untuk tumbuh dan berkembang menjadi pelajar pintar dan berbakat. Ibu bapa dan sekolah bertanggungjawab untuk membimbing kanak-kanak tersebut mengembangkan potensi mereka secara seimbang, menyeluruh, sepadu dan optimum. Pengalaman dan aktiviti pembelajaran yang disediakan untuk pelajar-pelajar harus dapat mengembangkan, memupuk, mencungkil dan meningkatkan kebolehan, bakat dan motivasi yang sedia ada dalam bidang rohani, kognitif, afektif dan psikomotor ke peringkat yang maksimum. Perlu ditegaskan bahawa pelajar-pelajar yang mempunyai potensi pintar cerdas tidak akan berkembang menjadi pelajar pintar cerdas jika mereka tidak didedahkan kepada pengalaman dan aktiviti pembelajaran yang sesuai.

Latar Belakang Pelajar Pintar Cerdas


Individu yang pintar cerdas ialah individu yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa yang boleh dipertingkatkan dan diperkembangkan. Golongan pintar cerdas di Malaysia mula diberi perhatian dalam sistem pendidikan dengan terlaksananya Sistem Kelas Ekspres pada tahun 1962. Dalam sistem ini, kanak-kanak yang memiliki potensi dan memperoleh pencapaian mengatasi rakan-rakan sebayanya telah diberi peluang untuk memendekkan tempoh persekolahan rendah daripada enam tahun kepada lima tahun sahaja. Tetapi sistem ini telah dihentikan perlaksanannya pada awal tahun 1970an.

Namun pada awal tahun 1980an, satu Simposium Kebangsaan mengenai kanak-kanak bergeliga telah diadakan. Ekoran daripada simposium yang telah diadakan ini, isu tentang pintar cerdas telah kembali dibangkitkan. Persatuan MENSA Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1983 untuk mengenal pasti individu yang pintar cerdas. Pada tahun 1985, Universiti Malaya telah memulakan program BAKA khusus untuk pelajar pintar cerdas manakala Persatuan Kanak-kanak Bergeliga Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1987. Menyedari betapa pentingnya program untuk pelajar pintar cerdas di negara ini, maka Seminar Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas telah diadakan pada tahun 1990 di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Hasil daripada seminar ini, didapati perancangan dan perlaksanaan program yang sistematik perlu diadakan bagi memenuhi keperluan pelajar yang pintar cerdas. Maka pada 1996, satu bentuk penilaian untuk mengenalpasti pelajar pintar cerdas telah dilaksanakan yang dikenali sebagai Ujian Penilaian Tahap Satu (PTS). Penilaian ini dilakukan keatas pelajar tahun tiga sekolah rendah. Pelajar yang melepasi tahap yang ditetapkan dibenar untuk melompat kelas dan belajar bersama-sama pelajar tahun lima tanpa perlu mengikuti pembelajaran tahun empat. Mungkin terdapat masalah dalam sistem ini, program ini hanya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sahaja. Pelajar-pelajar pintar cerdas dianggap akan berjaya dalam pelajaran sekolah dan dalam kehidupan seharian mereka secara automatik. Bagaimanapun, anggapan ini tidak disokong oleh kajian saintifik. Sering kali kanak-kanak pintar cerdas bukan sahaja gagal membina skim pemikiran yang mantap malah mereka juga mengalami masalah penyesuaian diri, kekosongan jiwa, kekecewaan dan kerisauan.

Sebahagian daripada tokoh pintar cerdas yang terkemuka pernah mengalami kesulitan dalam pendidikan sekolah. Misalnya Einstein gagal dalam bahasa, Schubert gagal dalam matematik, George Bernard Shaw tidak dapat mengeja dengan baik, dan Newton memaparkan skim pemikiran yang serba kekurangan semasa di sekolah rendah (Larson,1973). Ini menunjukkan betapa pentingnya untuk menyediakan satu program yang khas utuk pelajar-pelajar pintar cerdas ini supaya bakat dan potensi yang ada pada pelajar-pelajar ini dapat dikembangkan dan bagi mengelakkan pelajar-pelajar ini mengalami masalah yang disebabkan gaya pembelajaran yang tidak sesuai dengan tahap kebolehan mereka. Ini dapat dibantu dengan mengetahui personaliti yang ada pada pelajar-pelajar pintar cerdas ini yang mana akan menjadi petunjuk dan panduan untuk semua pihak bagi menentukan gaya pembelajaran yang terbaik bagi mereka.

Dengan perlaksanaan program KBSR dan KBSM yang memberi tumpuan kepada umum untuk semua pelajar, maka masanya sudah tiba untuk kita meneliti isu- isu yang berkaitan dengan pengajaran, pembelajaran dan penilaian bagi pendidikan pintar cerdas secara meluas dan mendalam. Kalau tidak, kemungkinan pelajar pintar cerdas yang akan menceburi bidang pekerjaan pada masa akan datang nanti akan mengalami kesulitan untuk memenuhi tuntutan dunia moden yang penuh mencabar kerana mereka tidak mendapat didikan yang sewajarnya.


Matlamat pelajar pintar cerdas adalah untuk melahirkan pelajar yang baik. Pelajar yang baik memiliki personaliti yang seimbang dan sepadu. Kanak-kanak pintar adalah suatu sumber alam yang berharga (Gardner, 1961) dan mereka merupakan sebahagian daripada harta kekayaan negara. Bagaimanapun sekolah sering kali gagal untuk memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pelajar-pelajar pintar cerdas kerana pelajar-pelajar tersebut dinggap tidak memerlukan sebarang bimbingan yang khusus, ataupun kebolehan mereka tidak diketahui oleh guru. Gallagher (1975) berpendapat bahawa ramai guru gagal mengenalpasti pelajar-pelajar pintar kerana mereka memberi perhatian kepada petunjuk tingkah laku yang salah.



Isu dan Masalah Pelajar Pintar Cerdas


Umum sering melihat Pelajar Pintar Cerdas ini sebagai insan yang istimewa tanpa menyedari bahawa pelajar ini sering berhadapan dengan masalah yang diluar jangkaan kita.
Bercanggah dengan kepercayaan orang ramai, golongan pintar-cerdas bukannya golongan yang bebas dari masalah, selalu berjaya mengikut kehendak dan tidak menghadapi apa-apa cabaran dalam kehidupan. Hidup yang senang dan lancar bagi golongan pintar-cerdas adalah satu mitos semata-mata. Walaubagaimanapun kebolehan yang tinggi menyenangkan mereka untuk berjaya dalam banyak aspek jika di bandingkan dengan orang lain.Mereka sering menyiapkan tugasan yang diberikan dengan cepat dan senang memahami bahan bacaan berbanding dengan pelajar lain. Mereka juga memiliki kemahiran penyelesaian masalah yang lebih tinggi. Kelebihan ini selalunya menjadikan mereka dikagumi dan seterusnya dicemburui rakan sebaya dan adik beradik. Semua orang terpaksa berhadapan dengan masalah ini, lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak pintar-cerdas. Perasaan ini adalah kebencian akibat kekecewaan daripada persaingan dan saling tidak mengiktiraf. Bayangkanlah perasaan seorang kawan yang tidak seberapa menonjol dalam kelas berbanding pelajar pintar cerdas ini, mendapat markah yang lebih tinggi.

Pencapaian kanak-kanak pintar-cerdas yang begitu tinggi selalunya menimbulkan perasaan inferioriti pada rakan-rakan di sekelilingnya. Lebih-lebih lagi, biasanya kanak-kanak pintar-cerdas menunjukkan superioriti dalam kebanyakan aspek. Mereka memenangi banyak hadiah dalam pelbagai pertandingan ataupun mendapat keputusan yang cemerlang, Perasaan rendah diri ini menjadikan kanak-kanak lain menjauhkan diri daripada kanak-kanak pintar-cerdas demi mempertahankan harga diri mereka sendiri. Keadaan ini akan menjadikan kanak-kanak pintar-cerdas seolah-olah diboikot, walaupun dia tidak berbuat salah. Kanak-kanak pintar-cerdas masih kecil, mereka tidak boleh memahami kenapa dianya dijauhi oleh kawan. Malah dia sendiri juga berasa bosan dengan rakan sebaya dan mengasingkan diri. Faktor-faktor ini menjadikan isu sosial satu cabaran besar yang perlu mereka hadapi.

Setiap hari anda sukar berkomunikasi dengan orang yang lain di sekeliling anda, termasuk guru, ibubapa, jiran, rakan sekelas, rakan sekerja dan sesiapapun. Adalah sukar menemui orang biasa seperti anda. Inilah gambaran hidup mereka yang terlampau cerdik. Di sinilah letaknya konflik.Konflik bukan sesuatu yang asing bagi mereka yang pintar cerdas. Semakin mereka menjadi siapa diri mereka, semakin besar konflik mereka dengan orang lain. Banyak yang terpaksa berlagak biasa atau bodoh. Konflik nilai adalah biasa, sesuatu yang dianggap penting bagi A mungkin tidak penting bagi individu B. Orang lain mungkin tidak memahami kenapa ia begitu bagi individu A, sebab keutamaannya berbeza dengan orang kebanyakan. Sesuatu yang biasa mungkin tidak betul baginya, seperti yang ditunjukkan dalam sifat suka mencabar tradisi dan norma. Di dunia ini, pegangan yang dianggap betul dan diikuti pada hari ini akan menjadi sesuatu yang disisihkan dan janggal pada masa depan. Mereka yang maju ke depan dan hidup di dunia masa depan selalunya menghadapi konflik dengan dunia semasa. Mereka ditentang dan dikritik.

Kanak-kanak pintar cerdas ini boleh memahami secara intelektuel mengenai perkara-perkara abstrak tetapi tidak mampu menagani perkara-perkara yang melibatkan konsep emosi yang mana akan membawa mereka ke arah kebimbangan seperti kematian masa hadapan seksualiti dan isu-isu yang lain. Perkembangan fizikal kanak-kanak pintar cerdas mungkin akan membataskan perkara atau kerja yang mereka berupaya menyelesaikannya melalui gambaran intelek mereka. Sikap teliti dan mementingkan kesempurnaan boleh mendorong mereka kearah kekecewaan. Mereka boleh terlibat sama dalam perbualan orang dewasa seperti isu-isu global untuk satu minit tetapi selepas itu mereka akan menangis kerana mainan kegemaran mereka diambil oleh seseorang

Antara masalah dan keistimewaan pelajar ini bukan setakat isu penyesuaian diri mereka lantaran perbezaan yang mereka ada semata-mata tetapi masalah itu sebaliknya mungkin menjadi faktor-faktor yang mempengaruhi usaha dan pencapaian mereka. Kebanyakan masalah ini menjadi punca kegagalan dan kesengsaraan hidup mereka, apabila mereka tidak boleh menangani masalah ini. Guru perlu memahami apa yang dikehendaki oleh pelajar tidak semestinya apa yang diperlukan oleh mereka. Pelajar tidak semestinya memahami apa yang terbaik untuk diri mereka. Sebab itu guru perlu memahami pelajar mereka. Masalah mungkin berlaku apabila guru mengeksploitasikan bakat pelajar demi kesenangan dirinya. Contohnya, dengan melantik pelajar pentar cerdas ini mengajar pelajar yang lain yang lebih lemah bukanlah cara terbaik untuk guru melepaskan tanggungjawab terhadap pelajar ini. Berlainan pula dengan guru membantu mereka memperbaiki teknik mengajar atau berkomunikasi. Perkembangan mereka secara tidak langsung telah terjejas.

Guru perlu mempertimbangkan dua faktor dalam membuat keputusan: apa yang dikehendaki oleh pelajar dan apa yang diperlukan oleh pelajar. Dua-dua faktor ini sama penting. Sebagai pelajar yang perkembangannya berbeza dengan pelajar yang lain, mereka sendiri mungkin lebih memahami apakah kelebihan dan minat sendiri. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna mereka mampu membuat keputusan yang terbaik untuk diri mereka. Ini boleh dilihat pada sikap segelintir pelajar pintar cerdas yang tidak suka membuat latihan, walaupun mereka belum menguasai kemahiran tersebut. Meraka sering menunjukkan sikap negatif mereka yang hanya belajar apa yang diminatinya. Oleh itu guru seharusnya dapat memahamkan mereka kepentingan berlatih dan menguasai bidang pengetahuan yang tertentu. Pada masa yang sama, adalah tidak mustahil sekiranya mereka sendiri tidak dapat mengenal minat, kekuatan dan kelemahan mereka, contohnya berasa keliru semasa pemilihan jurusan bidang pengajian. Oleh itu, mereka sebenarnya memerlukan bimbingan orang yang lebih berpengalaman hidup.

Bercanggah dengan kepercayaan orang ramai, kanak-kanak pintar cerdas sebenarnya tidak semestinya disukai oleh guru. Menjadi guru kepada pelajar yang terlalu pintar cerdas menjadi punca tekanan yang serius. Anak yang pintar cerdas ini dibenci sebab otaknya yang kritikal kadang-kadang menjadikannya tidak teragak-agak berdebat dan menunjukkan kesalahan guru. Pengalaman yang negatif ini sudah tentu meninggalkan kesan yang negatif pada hati anak itu. Dia tidak faham apakah kesalahannya sehingga dihukum.

Pengetahuan yang luas oleh kanak-kanak pintar cerdas selalu menjadikan guru yang tidak berkeyakinan akademik berasa takut, tertekan dan membenci kanak-kanak pintar-cerdas tersebut. Perkembangan yang luar biasa kadang-kadang mendatangkan kebencian. Guru juga mungkin bertindak mengabaikan kanak-kanak tersebut dan tidak mengiktiraf pencapaiannya, seolah-olah kanak-kanak tersebut tidak wujud. Keadaan ini akan menyekat perkembangan kanak-kanak tersebut, ia juga menimbulkan masalah sosioemosi kepada kanak-kanak tersebut. Mengajar kanak-kanak pintar cerdas memerlukan beberapa kemahiran yang mencabar.

Banyak orang susah percaya sekiranya pelajar pintar cerdas dikaitkan dengan dengan masalah akademik. Segelintir individu pintar cerdas hanya menumpukan perhatian dalam apa yang menarik minat mereka. Kadang-kadang ditunjukkan dalam sikap degil mereka dalam mempelajari sesuatu yang mereka kurang berminat. Ini adalah satu pembaziran, sebab mereka mungkin memiliki bakat luar biasa dalam bidang yang mereka tidak berminat. Guru perlu memberi motivasi, contohnya kepentingan subjek tertentu. Disebabkan cara pembelajaran dan keperluan intelek mereka yang begitu unik, sebarang tugasan dan pendidikan yang tidak sesuai dengan ciri-ciri mereka akan menjadikan mereka salahsuai. Keadaan ini mungkin dilihat pada kejatuhan yang mendadak dalam keputusan.

Banyak kanak-kanak pintar cerdas yang tidak suka ke sekolah sebab terlalu bosan dengan pengajaran guru. Mereka juga berasa bosan dengan (percakapan) kawan yang tidak matang bagi mereka. Masalah sosioemosi ini adalah akibat keperluan akademik yang tidak dipenuhi, dengan kata lain mereka tidak dicabar secukupnya dari segi akademik. Masalah ini seterusnya akan membawa kepada masalah tingkah laku atau disiplin seperti yang dijelaskan sebelum ini. Masalah ini boleh menjadikan mereka membenci kepada sekolah dan pembelajaran.

Satu cabaran yang besar dalam pendidikan adalah memahami pencapaian pelajar. Kanak-kanak pintar cerdas bukannya tidak dicabar dalam akademik tetapi tidak dicabar secara yang berkenaan. Contohnya, kerja salin-menyalin, menghafal secara bulat-bulat, latih tubi, jenis tugasan atau soalan yang closed-ended tidak serasi dengan keperluan akademik pelajar pintar cerdas. Mereka mungkin tidak suka menghafal pendapat orang lain sedangkan dirinya boleh mengeluarkan idea yang lebih baik. Walaupun pelajar pintar cerdas menunjukkan kelebihan mereka dalam ingatan, tetapi kelebihan mereka yang nyata adalah dari segi pemahaman. Dari segi pemahamanlah, yang membezakan pelajar pintar cerdas dengan pelajar biasa yang cemerlang dalam akademik. Bagi pelajar pintar-cerdas, apa yang menarik minat mereka adalah sesuatu yang mencabar mereka dari segi pemahaman. Lembaran kerja yang menekankan latih tubi tidak menarik kepada mereka sebab mereka tidak suka.

Memang benar golongan pintar cerdas memiliki kelebihan dalam persaingan. Tetapi ini tidak bermakna mereka akan berasa yakin diri, sebab dia mungkin langsung tidak membandingakan diri dengan orang lain. Seperti yang dikatakan sebelum ini, golongan ini mendukung sistem nilai yang tersendiri, mereka mungkin tidak berminat membandingkan dirinya dengan orang lain dari segi pencapaian akademik, kerjaya dan sebagainya. Sebaliknya mereka seolah-olah membuat sesuatu akibat dorongan dalaman sendiri. Dengan erti kata lain, mereka membandingkan diri mereka sendiri, dan jangkaan yang tinggi selalunya memberi tekanan kepada mereka sendiri. Penyempurnaan diri merupakan satu motivasi yang kuat dalam mempengaruhi tingkah laku mereka.

Semua individu adalah unik dari segi keupayaan, jarang kita menjumpai seseorang yang serba boleh. Keadaan ini berlaku kepada kanak-kanak pintar-cerdas juga. Seseorang yang mencapai tahap yang tinggi dari segi kecerdasan bahasa dan logiko-matematikal mungkin menghadapi masalah besar dalam kemahiran fizikal seperti mengimbangkan badan, kordinasi badan ataupun dia tidak boleh melukis atau menyanyi. Bayangkan apakah perasaannya semasa hari sukan, masa seni dan sesi nyanyian, sudah tentu mereka berasa malu dan janggal sebab maruah diri mereka yang tinggi dan sifat sensitif. Perkembangan yang tidak seimbang ini juga membawa banyak masalah kepada kehidupan mereka, contohnya kalau dia menghadapi masalah orientasi arah dia akan selalu menghadapi masalah sesat jalan juga.

Pada masa yang sama, keyakinan yang terlalu tinggi juga menjejaskan perkembangan mereka. Memandangkan kebolehan akademik (dan kebolehan mental yang lain), sesetengah individu menjadi terlampau yakin dalam dunia yang berorientasikan akademik ini. Ini menjadikan mereka tidak nampak kelemahan sendiri dan hidup dalam dunia sendiri. Masalah keyakinan (terlampau yakin atau inferioriti) ini akan menjejaskan pandangan orang lain terhadap diri kita.

Kesimpulan


Pendidikan pintar cerdas, menjadi satu bidang yang susah berkembang di Malaysia setelah sekian lama bidang ini berkembang maju di serata dunia. Negara ini masih tidak setanding dengan negara membangun yang lain seperti India dan China, di mana penyelidikan tentang psikologi pintar cerdas telah mantap dan berkembang maju sejak lebih daripada 40 tahun yang lepas. Program-program pendidikan pintar cerdas dan institusi penyelidikan pelajar pintar cerdas ditubuhkan di sekolah biasa mahupun di peringkat universiti. Walau bagaimanapun Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat untuk memperkembangkan potensi individu pelajar secara menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu seluruh usaha dan langkah yang diambil dalam sistem pendidikan mestilah mengambil kira potensi dan keperluan setiap individu pelajar.

Semua manusia menghadapi masalah, perbezaannya hanyalah individu pintar cerdas menghadapi masalah yang berbeza. Masalah-masalah ini perlu difahami oleh pendidik untuk memastikan kesejahteraan pelajar pintar cerdas mereka. Kesimpulannya ialah mereka kurang menghadapi masalah yang dihadapi oleh orang lain seperti dalam akademik, penyelesaian masalah dan lain-lain tetapi mereka menghadapi masalah lain yang tidak dihadapi oleh orang lain. Antara masalah mereka yang paling besar adalah orang ramai tidak memahami masalah mereka. Di sini terletaknya kepentingan mengkaji psikologi kanak-kanak pintar-cerdas dan memberi kesedaran kepada orang ramai.

Setiap individu pelajar yang normal semenjak dari usia bayi telah memiliki potensi dan bakat yang boleh diperkembang dan dipertingkatkan. Dewasa kini mereka telah terdedah lebih awal dengan pelbagai sumber maklumat. Fenomena ini sedikit sebanyak boleh memberi impak yang besar dalam perkembangan dan pertumbuhan fizikal, kognitif, psikomotor dan emosi mereka, terutama di kalangan mereka yang dikenali sebagai pelajar pintar cerdas. Pelajar yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa serta melebihi kebolehan rakan seusianya lebih dikenali sebagai kanak kanak pintar cerdas (gifted). Pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan individuyang memiliki potensi yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan. Bagi mengembangkan potensi dan bakat mereka dengan lebih sistematik dan berkesan, suatu program pendidikan khusus amat diperlukan.

Rujukan

Abd Majid Mohd Isa.1994. Keberkesanan Raven SPM dalam mengenalpasti kanak-kanak Melayu pintar cerdas. Pertanika. J. Soc. Sci Hum 2(1): 63-68.

Abdul Rahim M. Ali. (1991). Personaliti dan Hubungannya dengan Pencapaian Akademik Murid-Murid Sekolah Rendah Luar Bandar. Laporan Penyelidikan M.Ed. Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Che Mah Yusof dan Mariani Mohd Nor. (2001). Personaliti pelajar pintar dan hubungannya dengan pencapaian akademik. Prosiding konferensi kebangsaan Kajian Pasca Siswazah (Greduc.), Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Fatanah Mohamed. (1997). Perkaitan antara pencapaian akademik dengan factor personaliti dan persekitaran keluarga di kalangan pelajar MRSM. Tesis Phd. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Nik Azis Nik Pa. (1999). Mitos dan realiti tentang pelajar pintar cerdas. Jurnal Kebajikan, 16(2), 87–112, Disember 1994.

Ng Seng Fa. (2005). Rahsia Individu Pintar Cerdas dan Masalah Mereka. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thursday, January 20, 2011

Ciri-ciri negatif dan cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak pintar cerdas

Permasalah dari segi perkembangan asynchronous

Kanak-kanak pintar cerdas ini boleh memahami secara intelektuel mengenai perkara-perkara abstrak tetapi tidak mampu menagani perkara-perkara yang melibatkan konsep emosi yang mana akan membawa mereka ke arah kebimbangan seperti kematian masa hadapan seksualiti dan isu-isu yang lain.Perkembangan fizikal kanak-kanak pintar cerdas mungkin akan membataskan perkara atau kerja yang mereka berupaya menyelesaikannya melalui gambaran intelek mereka. Sikap teliti dan mementingkan kesempurnaan boleh mendorong mereka kearah kekecewaan. Mereka boleh terlibat sama dalam perbualan orang dewasa seperti isu-isu global untuk satu minit tetapi selepas itu mereka akan menangis kerana mainan kegemaran mereka diambil oleh seseorang. Permasalahan dari segi pertuturan yang kehadapan dan kebolehan memberi alasan. Kanak-kanak pintar cerdas ini biasanya bersikap tidak mahu mengalah dalam apa-apa perkara. Walaupun begitu mereka tetap kanak-kanak dan memerlukan disiplin yang betul sengguh pun mereka itu bijak. Mereka boleh mempengaruhi orang lain. Ibu bapa dan orang dewasa lain perlu mangambil berat supaya mereka tidak menjadi orang yang mampu mempengaruhi orang lain kearah keburukkan.Mereka juga akan cuba bersikap tunjuk pandai terhadap ibu bapa dan guru.Permasalahan dari segi sikap teliti dan kesempurnaan serta masalah emosi yang sensitif. Sikap kesempurnaan boleh membawa mereka kepada takut terhadap kegagalan sehingga mereka menjadi seorang yang putus asa. Mereka ini memerlukan data-data yang lengkap sebelum manjawap soalan-soalan yang diberikan, mereka sebenarnya lebih suka mencari jawapan sendiri kerana mereka malas untuk bersosial. Sikap sensitivity dan juga perkembangan minda mereka mampu untuk memikirkan hal-hal seperti peperangan, kebuloran, pencemaran, ketidak adilan dan keganasan. Jika mereka terlampau memikirkan isu-isu ini mereka akan mengalami masalah ‘introverted’ dan mungkin menjurus kearah “existential depression”.